Seorang penoreh getah ditemui mati dipercayai akibat terkena bom ikan buatan sendiri di Sungai Keladi, dekat Chetok, Pasir Mas petang semalam.
Mayat Yunus Yusoff, 46, ditemui pasukan penyelamat tidak jauh dari tempat kejadian pada jam 9.55 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Haliluddin Rahim berkata dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, Yunus dikatakan sedang menangkap ikan seorang diri dengan menggunakan bahan letupan itu.
“Mangsa mati dipercayai akibat terkena bom ikan buatan sendiri dan lemas di sungai. Mayat lelaki itu juga mempunyai kesan cedera di tangan akibat terkena bom itu.
“Ini adalah kejadian kedua kematian melibatkan bom ikan buatan sendiri dan saya nasihatkan nelayan sungai agar menggunakan kaedah lama supaya kejadian yang tidak diingini ini tidak berlaku lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Pasir Mas Azuhan Ibrahim berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 10 malam tadi.
“Seramai 10 anggota daripada unit skuba dikerahkan ke tempat kejadian bersama tiga pegawai untuk mencari mangsa yang dipercayai lemas.
“Kami menghentikan operasi kira-kira jam 2 pagi dan menyambungnya kembali jam 9 pagi ini,” katanya.
Isteri mangsa, Azizah Abdul Samad, 42, berkata ketika kejadian itu dia berada di rumah untuk memasak bagi makan malam.
“Saya tak tahu pun suami ke sungai untuk mencari ikan kerana arwah tidak memberitahu dia hendak ke mana.
“Kali terakhir saya menemuinya kira-kira jam 2.30 petang semalam selepas pulang dari menoreh getah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Kemang, Sungai Keladi, Pasir Mas hari ini.
Sumber : www.malaysiakini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan